I made this widget at MyFlashFetish.com.

Friday, July 31, 2009

'KERISAUAN OGOS'

31 Julai 2009

6.00 am

Keheningan pagi di bumi Cairo menggerakkan hati ku untuk kembali menulis. Hidup di musim panas di bumi Mesir ini menyebabkan aku hampir terlupa akan kenikmatan tidur. Mata ini sudah lama tidak dapat ku lelapkan di waktu malam, di sengkang bahang yang seolah-olah tiada belas kasihan. Tambahan pula kerisauan di benak fikiran, memikirkan keputusan peperiksaan yang bakal menjelang.

Julai dan Ogos, adalah bulan-bulan yang paling menggentarkan hati kami pelajar Universiti Al Azhar. Termasuk diriku, yang merupakan pelajar tahun 1 jurusan Syariah Islamiyyah, Universiti Al-Azhar, Damanhur. Tidak keruan hatiku mengenangkan keputusan yang bakal menjelang. Jerih payah yang dilalui beberapa bulan yang lalu akan di ketahui hasilnya sedikit masa lagi. Adakah aku bakal menyambung pengajianku di tahun 2? Ataupun kembali berjuang di tahun 1? (au’zubillah).

Program-program musim cuti, samada berbentuk ilmiah atau sukan, sedikit pun tidak mengurangkan kerisauanku. Mungkin mereka yang tidak pernah menempuh alam pengajian di Universiti Al –Azhar merasa hairan tertanya-tanya, mengapa kami begitu bimbang tentang keputusan peperiksaan kami. Susah untuk ku ceritakan, keajaiban Al-Azhar. Yang dirasakan boleh lulus dengan cemerlang, terkadang gagal. Yang dirasakan gagal, boleh lulus walau tidak kategori cemerlang.

Inilah waktu bagi kami mempergiatkan doa, agar keputusan yang akan di tatapi nanti bakal mengalirkan air mata kegembiraan, mampu membuatkan kedua orang tua tersenyum bangga. Allahumma ija’lna min an najihin wal faizin..

No comments: